7 Panduan Pemakanan Ini Perlu Ibu Hamil Ikuti. Barulah Bayi Dalam Kandungan Sama-sama Sihat!

 

Amalan pemakanan sihat semasa hamil sangat penting berikutan bayi dalam kandungan bergantung harap kepada anda.

Sering kali, ibu hamil disarankan untuk mengutamakan pemakanan sihat dan seimbang agar kesihatan bayi dan dirinya sendiri kekal di tahap yang paling optimum sepanjang tempoh kehamilan. Oleh sebab itulah, menu makanan seharian anda seharusnya mengandungi zat pemakanan seimbang seperti karbohidrat, protein, kalsium, zat besi, asid folik, beta karotena, asid lemak omega-3, vitamin A, B kompleks dan C.

1. Sepanjang hamil, biasakan diri anda dengan mengambil produk tenusu seperti susu, keju dan dadih kerana di dalamnya terkandung kalsium, Vitamin A dan protein. Selain daripada susu lembu anda boleh mengubah selera dengan mengambil susu kambing yang segar tetapi pastikan ia dipasteur terlebih dahulu. Jika tidak, anda boleh mencuba susu kambing dalam bentuk serbuk.

2. Produk kacang soya seperti air soya, tempe, tauhu juga kaya dengan kalsium dan mengandungi zat besi. Kekacang kering pula bagus diambil sebagai kudapan. Contohnya badam, pistachio, walnut kerana ia mengandungi kalsium, zat besi dan folat.

3. Anda disarankan mengambil sumber protein yang terdiri daripada daging ayam atau lembu tanpa lemak kerana ia kaya dengan zat besi dan vitamin B kompleks. Begitu juga dengan ikan dan telur yang juga mengandungi banyak protein.

4. Seimbangkan menu harian anda dengan mengambil sayur-sayuran terutamanya yang berdaun hijau gelap seperti sawi, bayam, kailan dan brokoli juga. Sayur sebegini penuh dengan khasiat zat besi, Vitamin B kompleks dan beta-karotena. Sama juga halnya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna-warni seperti jambu, betik, kiwi, limau dan lobak merah yang tinggi kandungan vitamin C dan beta-karotena.

5. Bagi mendapatkan omega-3, amalkan pengambilan ikan salmon dan jenis ikan berminyak yang lainnya. Selain itu, minyak biji rami (flaxseed oil) juga dipercayai mengandungi sumber omega-3 yang baik untuk perkembangan otak si manja di dalam kandungan.

6. Kurangkan pengambilan manisan seperti gula, gula-gula, biskut, kuih-muih, coklat dan minuman manis. Hal ini kerana kandungan zat pemakanan di dalamnya adalah sedikit ataupun langsung tiada. Ia perlu dihindari kerana anda mudah mengambilnya secara berlebihan kerana ia tidak mengenyangkan.

7. Hadkan juga makanan ringan, makanan segera dan makanan yang mengandungi pewarna, perasa serta bahan pengawet.

SUMBER : MAJALAHPAMA.MY

 

.

eziaccount.com simpleaccount.pro semuaweb.com