Ajar 5 Perkara Ini Supaya Si Kecil Jadi Anak Soleh/Solehah

Ramai di antara kita sering mengeluh dan bertanya kenapa anak tidak dengar kata dan selalu buat perangai. Bagaimanakah boleh jadi begini?

Bagi ibu bapa yang berhadapan dengan masalah seperti ini, pernahkah anda terfikir sikap anak yang tidak mendengar kata dan yang sedang buat perangai itu sebenarnya bukan anak sebaliknya diri anda sendiri?

Tentu anda tertanya-tanya mengapa? Bukankah anak itu cerminan anda? Seperti yang kita semua tahu, anak dilahirkan suci bersih tanpa sebarang kekotoran. Kita orang dewasalah yang mencorakkannya.

Dari Abu Hurairah r.a. diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Jadi, jika anda marahkan anak, anda terlebih dahulu patut dimarahi kerana anda yang mendidiknya. Cuma yang membezakannya ialah sama ada dia belajar secara formal daripada anda atau secara tidak formal iaitu berdasarkan contoh yang anda tunjukkan. Mungkin ramai di antara kita terlupa dan ada juga yang tidak sedar bahawa anak sentiasa meniru setiap tingkah laku orang yang berada di sekelilingnya.

Bagi mereka, ibu bapa adalah idola. Baik mahupun buruk perangai ibu bapa, mereka tetap ikut sebab mereka tidak tahu membezakan antara perkara yang baik dengan yang tidak selagi belum diajar. Oleh itu ibu bapa mesti mengajar anak-anak tentang perkara berikut dalam kehidupan seharian mereka.

1. Sentiasa berkasih sayang
Perkara asas yang perlu ibu bapa tahu dalam mendidik anak ialah tentang kasih sayang. Didiklah amanah Allah ini dengan penuh kasih sayang sebagaimana sayangnya Yang Maha Esa kepada kita hamba-Nya. Walaupun banyak kesalahan dan kesilapan telah kita lakukan, Allah SWT tidak pernah mengabaikan kita dan sentiasa memaafkan malah kasih sayang-Nya pada kita tidak pernah pudar.
Begitulah juga dengan kita semua. Jika anak berbuat silap jangan terus memarahinya. Selidik dahulu apa puncanya dan ajak anak perbetulkan kesilapannya. Barulah anak rasa diri disayangi dan dihargai. Hasilnya, anak-anak akan sentiasa rapat dengan ibu bapa dan bukan menjauhkan diri lalu mencari kasih sayang di luar rumah.

2. Tanggungjawab di dunia
Dari semasa ke semasa, terapkan dalam diri anak tentang realiti kehidupan kita di dunia ini. Terangkan pada anak, mengapa Allah SWT cipta kita dan apa tugas kita di muka bumi ini. Ingatkan juga pada anak agar sentiasa berselawat kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, insan yang membimbing kita ke jalan yang benar.

3. Biasakan anak pergi ke masjid
Bagi anda yang ada anak lelaki, rajin-rajinlah bawa dia solat berjemaah di surau ataupun masjid. Seminggu sekali, ajaklah seisi keluarga berjemaah di masjid sambil menghadiri majlis-majlis ilmu.
4. Konsisten baca Al-Quran
Pada masa yang sama, jangan lupa menekankan tentang penting membaca Al-Quran. Biasakan anak-anak membaca Al-Quran sekurang-kurangnya lima ayat setiap hari.

5. Manfaatkan masa dalam kereta
Di dalam kenderaan pula, lebih baik jika anda ajak anak-anak mendengar alunan zikir atau tazkirah berbanding mendengar lagu-lagu yang boleh melalaikan dan yang terlalu memuja dunia. Ibu bapa juga boleh menggunakan masa di dalam kereta untuk mengajar anak-anak tentang pelbagai perkara yang ada di sekeliling. Hasilnya, masa yang ada tidak dibazirkan begitu sahaja sebaliknya setiap detik yang dilalui dimanfaatkan sebaiknya.

Semoga kesungguhan kita mendidik anak-anak ke jalan yang benar akan sentiasa diredai Allah dan keluarga kita akan sentiasa dirahmati, diberkati dan diberi taufik dan hidayah. Amin.
SUMBER : MAJALAHPAMA.MY

eziaccount.com jual2u.com semuaweb.com